Teks Ucapan Perutusan Khas Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN)

TEKS UCAPAN

YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN PERDANA MENTERI MALAYSIA 
PAKEJ RANGSANGAN EKONOMI PRIHATIN RAKYAT (PRIHATIN)

Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,

Saudara dan saudari rakyat Malaysia yang saya kasihi, Apa khabar semua?

Seperti yang saya janjikan, hari ini saya akan mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat atau PRIHATIN berjumlah RM250 bilion yang akan memberi manfaat kepada anda semua.

Daripada jumlah ini, hampir RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat, RM100 bilion untuk menyokong perniagaan termasuk Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) dan RM2 bilion untuk memperkukuh ekonomi negara. Manakala sebanyak RM20 bilion telah diumumkan dalam pakej rangsangan sebelum ini.

Pakej PRIHATIN ini akan menyediakan bantuan segera untuk meringankan beban yang ditanggung oleh anda semua. Sama ada anda seorang nelayan di Kukup, Johor atau pekebun kecil di Jeli, Kelantan. Anda pengusaha chalet di Cherating atau penarik beca di Melaka, peniaga pasar malam di Kuala Lumpur atau pasar tamu di Kundasang. Anda semua akan menikmati manfaat daripada pakej rangsangan ekonomi yang peduli rakyat ini. Seperti yang saya sebutkan, tiada golongan yang akan tercicir. No one will be left behind.

Keutamaan kerajaan pada waktu ini ialah untuk membendung penularan wabak COVID-19. Untuk itu, saya telah mengumumkan peruntukan berjumlah RM500 juta kepada Kementerian Kesihatan Malaysia. Bagi meningkatkan lagi keupayaan Kementerian, Kerajaan akan menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion bagi pembelian peralatan dan perkhidmatan untuk memerangi COVID-19, termasuk mendapatkan khidmat kepakaran perubatan daripada perkhidmatan kesihatan swasta.

Selain itu, bagi menyokong usaha KKM untuk menjalankan lebih banyak ujian COVID- 19, pihak industri insurans dan takaful akan mewujudkan dana khas berjumlah RM8 juta untuk menanggung kos ujian penyaringan yang bernilai sehingga RM300 bagi setiap pemegang polisi dan sijil takaful perubatan yang diarahkan oleh KKM untuk menjalani ujian di hospital swasta atau makmal swasta. Di samping itu, syarikat insurans dan takaful keluarga akan menawarkan penangguhan pembayaran premium atau sumbangan untuk tiga bulan bagi pencarum yang sumber pendapatan mereka terjejas akibat wabak ini.

Dalam pakej rangsangan ekonomi yang pertama, Kerajaan telah bersetuju memberikan elaun khas kepada doktor, jururawat dan kakitangan perubatan lain yang terlibat secara langsung dalam pengurusan dan pembendungan wabak ini. Saya sedar dalam situasi getir pada waktu ini, kakitangan kesihatan kita sedang bekerja bertungkus lumus dalam keletihan dan keadaan yang agak tertekan. Namun mereka terus cekal berjuang mengharungi cabaran yang hebat ini.

Sebagai menghargai pengorbanan mereka, Kerajaan akan meningkatkan elaun khas yang diterima daripada RM400 kepada RM600 sebulan mulai 1 April 2020 sehingga wabak ini berakhir. Pada masa yang sama, Kerajaan juga bersetuju memanjangkan elaun khas sebanyak RM200 sebulan kepada anggota tentera, polis, kastam, imigresen, anggota Angkatan Pertahanan Awam serta anggota RELA yang terlibat secara langsung dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan. Elaun ini juga akan dibayar mulai 1 April 2020 sehingga wabak COVID-19 berakhir. Dianggarkan seramai 169,000 kakitangan tambahan akan mendapat manfaat ini.

Saya faham bahawa dalam keadaan bencana seperti yang kita sedang hadapi ini, sebahagian besar daripada saudara-saudari terjejas dari segi sumber pendapatan. Untuk meringankan beban anda, kerajaan akan menyediakan Bantuan Prihatin Nasional, iaitu pemberian tunai secara one-off dengan peruntukan hampir RM10 bilion, dan buat pertama kalinya akan disalurkan juga kepada kumpulan M40. Mereka ini termasuk pekerja swasta, peneroka FELDA, petani, nelayan, peniaga kecil dan semua yang tergolong dalam kumpulan M40 dan ke bawah.

Jumlah bayaran yang akan dibuat ialah:

  • Pertama: RM1,600 kepada hampir 4 juta isi rumah yang berpendapatan bulanan RM4,000 dan ke bawah. Bayaran RM1,000 akan dibayar pada bulan April 2020 dan RM600 pada bulan Mei 2020.
  • Kedua: RM1,000 kepada hampir 1.1 juta isi rumah yang berpendapatan lebih RM4,000 hingga RM8,000 yang akan dibayar pada bulan April 2020 sebanyak RM500 dan baki RM500 pada bulan Mei.
  • Ketiga: RM800 kepada 3 juta individu bujang berusia 21 tahun ke atas dan berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah. Bayaran RM500 akan dibayar pada bulan April 2020 dan baki RM300 pada bulan Mei 2020.
  • Keempat: RM500 kepada 400,000 individu bujang berusia 21 tahun ke atas yang berpendapatan bulanan lebih RM2,000 hingga RM4,000. Bayaran sebanyak RM250 akan dibuat pada bulan April 2020 dan baki RM250 pada bulan Mei.

Di samping itu, baki pemberian tunai di bawah program Bantuan Sara Hidup (BSH) yang sedang dilaksanakan akan dibayar pada bulan Julai 2020 melibatkan peruntukan sebanyak RM3.2 bilion.

Saya juga tidak lupa kepada para pelajar institusi pengajian tinggi. Anda juga akan menerima bantuan secara one-off sebanyak RM200 seorang yang akan dibayar pada bulan Mei 2020. Bantuan ini melibatkan peruntukan sebanyak RM270 juta kepada pelajar di pelbagai peringkat pengajian tinggi termasuk matrikulasi, Kolej Komuniti, Politeknik, IPTA dan IPTS.

Begitu juga dengan golongan mudah terjejas seperti warga emas dan kanak-kanak di rumah perlindungan, orang kelainan upaya atau OKU, golongan gelandangan dan orang asal. Kerajaan akan bekerjasama dengan NGO dan usahawan sosial yang berkaitan untuk menyalurkan bantuan makanan, barangan penjagaan kesihatan dan tempat perlindungan untuk mereka dengan peruntukan sebanyak RM25 juta.

Sebelum ini, Kerajaan telah bersetuju untuk menangguhkan bayaran balik PTPTN kepada semua peminjam selama 6 bulan melibatkan kutipan sebanyak RM750 juta. Kini, Kerajaan bersetuju memberikan penangguhan bayaran balik pinjaman untuk tempoh yang sama kepada peminjam Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran atau PTPK mulai 1 April 2020 hingga 30 September 2020, dengan anggaran kutipan sebanyak RM149.2 juta. Inisiatif ini akan memanfaatkan seramai 174,500 orang peminjam.

Pada masa ini, mySalam menyediakan manfaat kepada golongan B40 yang dimasukkan ke hospital kerana jangkitan COVID-19. Pesakit boleh menuntut bayaran penggantian pendapatan sebanyak RM50 sehari untuk tempoh maksimum 14 hari. Sebagai tambahan kepada inisiatif ini, sukacita saya mengumumkan bahawa Kerajaan bersetuju untuk memanjangkan manfaat ini kepada golongan B40 yang dikuarantin sebagai pesakit di bawah siasatan (PUI).

Saya sedar bahawa ada di kalangan saudara-saudari yang menabung untuk simpanan hari tua dalam Skim Persaraan Swasta atau PRS. Dalam keadaan yang sukar pada waktu ini, tentulah saudara-saudari memerlukan wang tunai daripada apa jua bentuk simpanan untuk digunakan bagi menampung perbelanjaan harian. Sehubungan itu, Kerajaan membenarkan pengeluaran pra-persaraan dari akaun B Skim Persaraan Swasta sehingga jumlah RM1,500 bagi setiap ahli tanpa sebarang penalti cukai dalam tempoh bulan April hingga Disember 2020.

Saya juga tahu keperitan yang dihadapi oleh golongan B40 di kawasan bandar, terutamanya mereka yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat dan Perumahan Awam. Sehubungan itu, Kerajaan bersetuju untuk memanjangkan pengecualian pembayaran sewa bagi PPR daripada sebulan yang diumumkan sebelum ini kepada enam bulan dengan jumlah kos sebanyak RM3 juta ditanggung oleh kerajaan.

Pengecualian pembayaran sewa ini melibatkan 3,636 unit rumah PPR disewa atau transit di bawah pengurusan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Bagi unit sewa untuk milik pula, penangguhan pembayaran bulanan diberikan selama enam bulan bagi pembayaran balik pembiayaan bermula bulan April hingga September 2020. Penangguhan pembayaran ini melibatkan kos RM5.7 juta bagi 4,649 unit rumah.

Manakala bagi Perumahan Awam pula, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan memberi pengecualian yang sama yang memanfaatkan lebih 40,000 penyewa. Saya menyeru kepada Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan lain supaya memberikan pengecualian yang sama bagi meringankan beban penghuni PPR di negeri masing-masing.

Kerajaan juga bersetuju memberikan pengecualian sewaan selama enam bulan untuk semua premis milik Kerajaan Persekutuan seperti kantin sekolah, taska, kafeteria, kedai serbaneka dan lain-lain. Ini termasuk semua premis milik agensi dan badan berkanun Kerajaan Persekutuan. Saya juga menggesa agar Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan dan GLC memberikan pengecualian yang sama.

Dalam pakej rangsangan ekonomi yang lepas, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM500 juta bagi tujuan pemberian diskaun 15% ke atas bil elektrik sektor pelancongan dan 2% bagi sektor komersial, industri, pertanian dan isi rumah di Semenanjung Malaysia mulai 1 April 2020. Sebagai tambahan, Kerajaan bersama Tenaga Nasional Berhad akan menambah peruntukan sebanyak RM530 juta lagi untuk memberikan diskaun berperingkat antara 15% hingga 50% mengikut penggunaan kadar elektrik dengan had maksimum 600 kilowatt sebulan. Diskaun 50% akan diberikan kepada penggunaan elektrik bawah 200 kilowatt, 25% bagi penggunaan antara 201 hingga 300 kilowatt dan 15% bagi penggunaan 301 hingga 600 kilowatt. Diskaun ini akan berkuatkuasa bagi tempoh enam bulan mulai bil bulan April 2020. Sementara itu, diskaun sebanyak 2% seperti dimaklumkan sebelum ini akan terus dinikmati oleh semua pengguna isi rumah.

Bagi industri telekomunikasi dan multimedia, beberapa pakej khas akan ditawarkan dengan kerjasama syarikat-syarikat telekomunikasi. Antara pakej khas yang akan ditawarkan ialah internet percuma kepada semua pelanggan dengan nilai RM600 juta bermula 1 April 2020 sehingga tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Keselamatan tamat. Selain itu, tambahan RM400 juta akan dilaburkan untuk meningkatkan liputan dan keupayaan rangkaian bagi mengekalkan ketersediaan dan kualiti rangkaian telekomunikasi yang tinggi dan mampan.

Kerajaan juga tidak lupa menjaga kebajikan semua penjawat awam yang terus setia menjalankan amanah kepada negara. Bagi menghargai sumbangan mereka, Kerajaan akan memberikan bantuan tunai sebanyak RM500 secara one-off kepada lebih 1.5 juta penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk mereka yang bekerja secara kontrak. Bayaran akan dibuat pada bulan April 2020. Sumbangan pesara Kerajaan juga tidak dilupakan. Dengan ini, Kerajaan akan menyalurkan bantuan sebanyak RM500 secara one-off kepada lebih 850,000 pesara Kerajaan juga pada bulan April 2020.

Dalam tempoh kritikal ini, adalah penting untuk memastikan bekalan makanan kekal terjamin dan mencukupi. Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM1 bilion kepada Dana Jaminan Makanan. Selain itu, Kerajaan juga akan terus menyalurkan pelbagai bantuan kepada petani, penternak dan nelayan termasuk dalam bentuk bantuan input pertanian, ternakan dan perikanan untuk menggalakkan pengeluaran domestik.

Kerajaan juga akan memperuntukkan sebanyak RM100 juta bagi menyediakan kemudahan infrastruktur tempat penyimpanan dan pengagihan makanan serta program integrasi tanaman. Sebagai langkah tambahan, Kerajaan akan menyediakan dana khas antara RM100,000 hingga RM200,000 kepada setiap Pertubuhan Peladang Kawasan dan Pertubuhan Nelayan Kawasan yang berdaya maju untuk membangunkan projek agromakanan jangka pendek yang boleh mengeluarkan hasil dalam tempoh 3 hingga 6 bulan. Ini untuk memastikan bekalan makanan terjamin. Langkah ini akan melibatkan peruntukan sebanyak RM64.4 juta.

Kerajaan juga akan memperkenalkan Program Subsidi Upah untuk membantu majikan mengekalkan pekerja. Dalam keadaan yang sukar ini, saya tidak mahu lihat pekerja dibuang kerja dan hilang pendapatan. Menerusi program ini Kerajaan akan menyediakan upah sebanyak RM600 sebulan bagi setiap pekerja untuk tempoh tiga bulan. Program ini dikhususkan kepada pekerja yang berpendapatan di bawah RM4,000 dan majikan yang mengalami penurunan pendapatan lebih 50% sejak 1 Januari 2020. Majikan mesti memastikan mereka tidak membuang pekerja atau mengarahkan mereka mengambil cuti tanpa gaji bagi tempoh tiga bulan selepas program ini dilaksanakan. Selain itu, majikan juga tidak dibenarkan memotong gaji sedia ada perkerja. Langkah ini dijangka memanfaatkan 3.3 juta orang pekerja dengan peruntukan sebanyak RM5.9 bilion.

Saya tahu pendapatan harian pemandu e-hailing sepenuh masa turut terjejas berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan. Bagi meringankan beban mereka, Kerajaan akan memberikan bantuan secara one-off sebanyak RM500 kepada 120,000 pemandu e-hailing dengan peruntukan sebanyak RM60 juta. Dalam Pakej Rangsangan Ekonomi sebelum ini, kerajaan telah mengumumkan pemandu teksi akan menerima bayaran one-off sebanyak RM600 mulai 1 April 2020.

Bagi memastikan kebajikan pekerja yang terlibat dengan kontrak perkhidmatan seperti perkhidmatan pembersihan dan bekalan makanan bermasak di sekolah, IPTA, institusi latihan awam serta agensi-agensi lain Kerajaan termasuk badan berkanun, Kerajaan bersetuju untuk membayar gaji yang ditanggung oleh kontraktor yang terlibat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan walaupun pekerja tidak hadir bekerja. Lebih 80,000 pekerja akan menerima manfaat daripada inisiatif ini yang melibatkan peruntukan berjumlah RM110 juta. Selain itu, Kerajaan juga bersetuju untuk memanjangkan tempoh kontrak perkhidmatan yang berkenaan selama sebulan sebagai trade-off dengan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

Bagi membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana, termasuk usahawan mikro, Kerajaan dan Bank Negara Malaysia akan menyediakan dana tambahan berjumlah RM4.5 bilion yang merangkumi lima inisiatif utama.

  • Pertama: Menambah dana dalam tabung Bantuan Kemudahan Khas atau Special Relief Facility untuk PKS sebanyak RM3 bilion, menjadikan jumlah keseluruhannya RM5 bilion. Selain itu, kadar faedah bagi keseluruhan dana ini akan dikurangkan daripada 3.75% kepada 3.5%.
  • Kedua: Meningkatkan saiz dana sebanyak RM1 bilion kepada RM6.8 bilion di bawah Kemudahan Semua Sektor Ekonomi bagi meningkatkan lagi akses pembiayaan kepada PKS.
  • Ketiga: Menyediakan dana tambahan sebanyak RM500 juta di bawah Skim Kredit Mikro yang menjadikan jumlah keseluruhan RM700 juta bagi pembiayaan mudah. Skim ini akan dikendalikan oleh Bank Simpanan Nasional dengan menawarkan kadar faedah 2% sahaja tanpa cagaran. Syarat kelayakan pinjaman juga dilonggarkan dengan minimum enam bulan operasi berbanding setahun operasi. Amaun pembiayaan juga ditingkatkan daripada maksimum RM50,000 kepada RM75,000 bagi setiap usahawan. Inisiatif ini adalah terbuka kepada semua usahawan mikro dalam semua sektor perniagaan termasuk pengusaha taska, operator bas dan teksi, industri kreatif dan peniaga atas talian.
  • Keempat: PKS yang mempunyai rekod perniagaan kurang daripada 4 tahun juga boleh memanfaatkan skim BizMula-i dan BizWanita-i Syarikat Jaminan Kredit Malaysia Berhad (CGC) untuk pembiayaan sehingga RM300,000.
  • Kelima: Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) akan menyediakan kemudahan jaminan bernilai RM5 bilion selain meningkatkan kadar jaminan daripada 70% kepada 80% bagi syarikat PKS yang menghadapi masalah mendapatkan pinjaman.

Menerusi inisiatif-inisiatif di atas, saya percaya institusi kewangan akan terus memberikan sokongan padu kepada PKS yang berdaya maju, lebih-lebih lagi dalam menghadapi cabaran ekonomi yang agak muram pada masa ini.

Saya juga prihatin dengan nasib pemilik-pemilik syarikat yang mengalami masalah aliran tunai. Untuk membantu saudara- saudari yang tertekan dengan masalah ini, kerajaan akan melaksanakan beberapa langkah.

  • Pertama: KWSP akan memperkenalkan program Khidmat Rundingan Majikan pada 15 April 2020. Perkhidmatan ini merangkumi pilihan penangguhan bayaran, penstrukturan dan penjadualan semula sumbangan majikan. Langkah ini dijangka memberikan penjimatan aliran tunai kepada majikan yang dianggarkan berjumlah RM10 bilion. Inisiatif ini akan memanfaatkan lebih 480,000 PKS dan syarikat yang terjejas, di samping menyelamatkan lebih 8 juta pekerjaan.
  • Kedua: Mengecualikan pembayaran levi Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) bagi semua sektor untuk tempoh enam bulan mulai bulan April 2020. Langkah ini dijangka membantu aliran tunai syarikat dengan penjimatan keseluruhan bernilai RM440 juta;
  • Ketiga: Dengan rasa peduli terhadap masalah yang dihadapi oleh kira-kira 750 ribu PKS, Kerajaan juga membenarkan penangguhan pembayaran ansuran cukai pendapatan kepada semua PKS untuk tempoh tiga bulan mulai 1 April 2020. Ini adalah tambahan kepada langkah yang diumumkan terdahulu di mana Kerajaan telah memberi penangguhan bayaran ansuran cukai kepada perniagaan yang terjejas dalam sektor pelancongan selama enam bulan bermula 1 April 2020. Bagi sektor lain yang turut terkesan, mereka dibenarkan untuk meminda jumlah cukai pendapatan yang dikenakan pada bulan ketiga, keenam dan kesembilan ansuran dalam tempoh asas perniagaan.

Seperti yang telah diumumkan sebelum ini, bagi membantu PKS serta individu, Kerajaan menyambut baik kesanggupan institusi perbankan untuk menawarkan penangguhan atau moratorium bayaran pinjaman selama enam bulan, penukaran baki kad kredit kepada pinjaman berjangka dan penstrukturan semula pinjaman korporat. Langkah ini adalah penting untuk membolehkan syarikat terus berkemampuan untuk mengekalkan pekerjaan dan segera meneruskan aktiviti perniagaan masing-masing. Inisiatif ini melibatkan jumlah keseluruhan sekurang- kurangnya RM100 bilion. Saya pasti anda yang meminjam dengan bank untuk membeli kereta, rumah dan lain-lain boleh menarik nafas lega sedikit dengan inisiatif ini. Alhamdulillah, syukur kita kepada Allah.

Saya bagi pihak Kerajaan amat berterima kasih kepada Bank Negara Malaysia dan industri perbankan yang menawarkan kelonggaran ini. Sebagai balasannya, Kerajaan bersetuju supaya pendapatan pihak bank dari faedah atau keuntungan ke atas pinjaman atau pembiayaan yang terlibat dengan penangguhan bayaran balik pinjaman atau pembiayaan ini, hanya dikenakan cukai apabila pendapatan tersebut diterima selepas tempoh moratorium.

Selain itu, langkah moratorium akan dipanjangkan dan dilaksanakan bagi pinjaman dengan TEKUN, MARA dan koperasi serta mana-mana agensi kerajaan yang memberi pinjaman kepada PKS mulai 1 April 2020.

Bagi membantu usahawan B40 dan rakyat yang hilang mata pencarian, satu program kewangan sosial akan diperkenalkan dengan kerjasama antara institusi perbankan Islam, Majlis Agama Islam Negeri dan rakan-rakan pelaksana utama. Sumbangan kewangan sosial akan disalurkan dalam bentuk modal permulaan bagi usahawan mikro menggunakan dana zakat dan dipadan dengan pembiayaan mikro pada kadar yang berpatutan.

Fasa pertama yang melibatkan kerjasama antara Bank Islam Malaysia Berhad dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan akan bermula dalam bulan Mei 2020. Usahawan yang layak akan diberi latihan keusahawanan, pengurusan kewangan dan sokongan untuk membangunkan perniagaan yang dipilih.

Saya faham sektor korporat juga terjejas dengan situasi yang kita hadapi pada waktu ini. Sektor ini tidak akan diabaikan. Justeru, Kerajaan menyambut baik usaha institusi perbankan yang bersedia untuk menstruktur semula bayaran balik pinjaman sektor korporat bersesuaian dengan prestasi perniagaan mereka.

Selain itu, Kerajaan juga akan menyediakan kemudahan skim jaminan berjumlah RM50 bilion dengan jaminan sehingga 80% daripada jumlah pinjaman bagi tujuan membiayai keperluan modal kerja. Skim ini akan diuruskan dan tertakluk kepada penilaian kredit oleh Danajamin. Kemudahan ini disasarkan kepada perniagaan yang berdaya maju dalam semua sektor yang menghadapi kesukaran akibat wabak COVID-19.

Saiz minimum pinjaman yang layak dijamin ialah RM20 juta bagi setiap perniagaan. Kemudahan ini akan disediakan untuk pemohonan mulai 1 Mei sehingga 31 Disember 2020, atau sehingga dana jaminan digunakan sepenuhnya.

Daripada semua bantuan kerajaan ini, saya nak beri satu contoh mudah supaya saudara-saudari senang kira. Contohnya, Makcik Kiah penjual goreng pisang yang duduk di PPR Desa Tun Razak, yang suaminya adalah pesara kerajaan dan sekarang ini bawa Grab. Anak Makcik Kiah adalah peminjam PTPTN. Pendapatan isirumah Makcik Kiah di bawah RM4000 sebulan. Dengar baik-baik. Saya nak bantu buat pengiraan berapa keluarga Makcik Kiah akan dapat.

Keluarga Makcik Kiah akan dapat Bayaran Prihatin Nasional sebanyak RM1600, baki BSH sebanyak RM600, bantuan pesara sebanyak RM500 dan bantuan tunai e-hailing sebanyak RM500. Kalau suami Makcik Kiah berkhidmat dengan RELA, dia akan dapat RM 200 sebulan sehingga wabak berakhir. Keseluruhan pemberian tunai yang keluarga Makcik Kiah akan dapat ialah sekurang-kurangnya RM3400.

Selain itu, keluarga Makcik Kiah juga akan dapat penjimatan sewa PPR selama 6 bulan sebanyak RM744, penjimatan penangguhan pinjaman kenderaan selama 6 bulan sebanyak RM1800, penjimatan bayaran bil elektrik selama 6 bulan sebanyak RM120.

Anak Makcik Kiah juga akan dapat penjimatan daripada penangguhan bayaran balik PTPTN selama 6 bulan sebanyak RM1200.

Kalau Makcik Kiah ada buat pinjaman kredit mikro untuk perniagaan goreng pisang dengan bayaran balik pinjaman sebanyak RM100 sebulan, Makcik Kiah akan dapat penjimatan sebanyak RM600.

Keseluruhan penjimatan ialah sebanyak RM4,464.

Jadi, keseluruhan nilai manfaat yang akan diterima oleh keluarga Makcik Kiah termasuk pemberian tunai dan penjimatan ialah sebanyak RM7,864. Jadi Makcik Kiah pun dah boleh tersenyum sikit dengar kiraan yang saya buat.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

Langkah yang telah diperkenalkan dalam Pakej ini juga bertujuan untuk memastikan aktiviti ekonomi negara berterusan, terutamanya dengan penyaluran tunai melalui Bantuan Prihatin Nasional. Di samping itu, Kerajaan akan memberi tumpuan kepada aktiviti pelaburan domestik yang mempunyai kesan pengganda yang tinggi dan mengekalkan pekerjaan.

Untuk tujuan ini, Kerajaan telah mengenal pasti beberapa projek kecil seperti menambah baik jalan, menaik taraf sekolah daif di Sabah dan Sarawak, membersihkan rumah ibadat dan balai polis, serta meningkatkan kemudahan pelancongan yang akan memanfaatkan kontraktor kelas G1 hingga G4. Bagi tujuan ini, peruntukan sebanyak RM2 bilion akan disediakan.

Pada masa yang sama, projek kecil bernilai RM2 bilion yang diumumkan dalam pakej sebelum ini akan mula dilaksanakan pada bulan April 2020. Projek-projek ini termasuk projek infrastruktur kawasan FELDA bernilai RM600 juta, projek membaik pulih sekolah daif di Sabah dan Sarawak bernilai RM350 juta dan projek membaik pulih perumahan rakyat termiskin bernilai RM150 juta.

Kerajaan juga akan meneruskan pelaksanaan semua projek yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2020 termasuk ECRL, MRT2 serta Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara. Usaha ini selaras dengan fokus Kerajaan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi kekal mampan.

Saudara-saudari yang saya kasihi sekalian,

Pakej PRIHATIN ini merupakan manifestasi Kerajaan yang mengambil berat akan kebajikan dan kesejahteraan rakyat. Kerajaan akan membuat suntikan fiskal langsung berjumlah RM25 bilion untuk membantu mengurangkan beban rakyat dan pemilik perniagaan dalam mengharungi cabaran ekonomi yang sukar ini. Strategi dan langkah yang akan dilaksanakan adalah berdasarkan kepada keupayaan fiskal semasa dan ketersediaan mudah tunai pasaran kewangan domestik yang mencukupi.

Kerajaan akan sentiasa memastikan akaun semasa fiskal mempunyai lebihan dan tidak menggunakan pinjaman untuk membiayai perbelanjaan operasi. Hampir semua langkah ini adalah secara one-off supaya tidak membebankan kewangan Kerajaan Persekutuan dalam jangka masa sederhana. Langkah ini penting untuk memastikan kedudukan fiskal dan hutang negara sentiasa mampan. Sehubungan itu, Kerajaan perlu kembali melaksanakan langkah konsolidasi fiskal dalam jangka masa sederhana bagi mewujudkan ruang fiskal untuk jangka masa panjang.

Sepertimana yang telah diumumkan semalam, untuk menzahirkan keprihatinan dan kepedulian pimpinan kerajaan terhadap keperitan rakyat pada masa ini, saya dan rakan-rakan dalam Jemaah Menteri dan Timbalan Menteri bersetuju agar dua bulan gaji kami semua dipotong dan disalurkan ke dalam Tabung COVID-19. Tabung ini akan digunakan untuk membantu saudara-saudari yang terjejas dengan penularan wabak COVID 19.

Selain itu, saya juga telah mengarahkan semua Kementerian mengkaji semula belanjawan masing-masing untuk mencari penjimatan agar ianya dapat digunakan untuk menampung langkah-langkah jangka sederhana bagi menangani wabak virus ini.

Saya juga telah mengarahkan Kementerian Kewangan melalui Unit LAKSANA untuk memastikan pakej PRIHATIN bernilai RM250 billion ini sampai kepada saudara dan saudari semua dengan cepat.

Saya tahu saudara-saudari yang berada di rumah-rumah panjang di Sarawak, di penempatan orang asal, di kawasan- kawasan yang jauh di pedalaman di segenap ceruk rantau negara ini, mungkin bimbang bantuan yang disediakan oleh kerajaan lambat sampai. Untuk itu, Kerajaan Persekutuan akan bekerjasama dengan kerajaan negeri, khususnya di Sabah dan Sarawak, untuk pastikan semua bantuan yang disediakan oleh kerajaan sampai dengan cepat.

Saudara-saudari yang saya kasihi,

We are a nation at war with invisible forces. The situation we are now facing is unprecedented in history. And, this government may not be the government that you voted for. But I want all of you to know that this government cares for you. I accepted to the fact that I came in as your Prime Minister not at the best moment. I face political, economic and health crisis all at the same time.

This unprecedented situation of course requires unprecedented measures. So, my dear brothers and sisters, and the children of this beloved country, whether you are a Malay, Chinese, Indian, Sikh, Iban, Kadazan, Dusun, orang asal, please bear with me and my friends in the cabinet and the government. We are not perfect, but we are doing the best we can to pull through this crisis together, as one nation. God willing, we will come out stronger when this crisis ends and the dust settles. InsyaAllah.

Saya minta sokongan daripada saudara dan saudari sekalian, marilah kita berganding bahu mengharungi krisis ini bersama- sama.
Wabillahi al-taufik walhidayah wassalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *